Thursday, December 4, 2008

Horoskop

Sekadar berkongsi dan dijadikan iktibar.Takde la blog aku ni mcm tak gune sgt.He he..

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau
di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka
percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan
tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu
berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca
ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya
tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula
ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.
Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah,
menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi
wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa
dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan
perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum
Islam," katanya. Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat
Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang
kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya,
maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan
termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi
Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9
yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12. Program yang
mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari
perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana
Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka
membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada
suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya
terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang
melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang
diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap
hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan
hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak
memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS
horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan
untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah,
kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja
dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang
dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek
psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu
benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan
mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan
tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka
yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya. Beliau berkata, Allah
sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah
murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu
kerana mendahului takdir Allah. Katanya, apa yang dikhuatiri ialah
disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi
itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah
mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang
ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa
izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai
yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum
boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara
suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib. Contohnya, isteri
yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan
berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang
lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang
taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga
golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal
barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di
langit. Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta
Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika
diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta
terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu
berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai
Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq. Ilmu itu
berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap.
Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali
sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh
lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20
Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama
Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi
bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan
bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun
banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung
sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau
lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak
perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan
membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana
boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan. ..

3 comments:

  1. kuri.. sy bace entry ni dr mule sampai habes
    berguna kan saya ;p

    wv--> opotu
    mcam opocot jek

    ReplyDelete
  2. bole di kira khurafat la kalu percaya kan...

    ReplyDelete